BIODATA PEMENANG PUSKAS FIFA 2016

Siapa sangka jaringan tercantik oleh Mohd Faiz Subri membolehkan beliau muncul sebagai pemenang anugerah Puskas dan berada di bandar raya glamor bersama-sama penerima anugerah lain seperti bekas pemenang gol tercantik dunia, Cristiano Ronaldo (2009) dan Neymar pada 2012.

Mohd Faiz Subri yang mula bermain bola sepak di kawasan sawah padi di kampungnya di Ayer Hitam, Jerlun, Kedah, sudah pasti mengasah bakatnya sehingga membawa beliau ke bandar raya Zurich untuk menerima Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016.

Biarpun masih belum menyarung jersi kebangsaan namun pencapaian pemain berusia 29 tahun itu lebih bermakna apabila muncul sebagai pemain pertama dari Asia menerima anugerah tersebut.

Mohd Faiz melakukan jaringannya yang disifatkan 'melanggar hukum fizik' ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 16 Feb tahun lalu.

Jaringan luar biasa beliau itu, antara yang dianggap paling menarik sepanjang tahun lalu, telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Minat Mohd Faiz dalam bola sepak dipupuk seawal usianya lapan tahun dan impiannya untuk mewakili negeri tercapai pada usia 18 tahun apabila terpilih mewakili Kedah selama empat tahun pada saingan Piala Presiden.

Karier profesional selaku pemain bola sepaknya bermula pada 2010 setelah dipilih menyertai pasukan Perlis selama dua tahun bagi posisi pemain tengah sebelum berhijrah ke Pantai Timur bagi pasukan T-Team pada 2012, dan Kelantan (2013-2014).

Setelah enam tahun beraksi dalam Liga Malaysia, karier Mohd Faiz berada di kemuncak apabila beliau menyertai pasukan Pulau Pinang sejak 2015 sehingga kini. Beliau pernah dipanggil menjalani latihan bersama skuad kebangsaan pada 2012, 2013 dan 2015.

"Jika mahu berjaya dalam hidup kita perlu teruskan usaha, perbaiki kelemahan dan sentiasa merendah diri dalam apa jua keadaan," kata pemain yang dilahirkan di Ayer Hitam, Kedah pada 8 Nov, 1987 itu.
Beliau mendapat pendidikan sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Tunku Laksamana Hitam sebelum ke Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Bonglai, kedua-duanya di Ayer Hitam dan seterus ke sekolah teknikal di Arau, Perlis.

Mohd Faiz mempunyai dua cahaya mata iaitu Akif Fayyadh berusia lima tahun dan Muhammad Aqil Zayyan, lapan bulan, hasil perkahwinan dengan Norzawanis Hashim, 29.

Tendangan luar biasa menjadi fenomena
'faiz kick'
Dari budak kampung ke pentas dunia...
Sumber- [METROTV]

0 comments/pendapat:

Catat Ulasan

Top Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...