Suasana
agak tegang. Pada malam sebelumnya, barang-barang berharga telah
didapati hilang dari istana. Penasihat istana mengesyaki
salah seorang daripada pengawal-pengawal istana yang berkawal pada malam
itu terlibat. Tetapi siapakah orangnya?
“Pihak istana memberi peluang kepada orang yang terlibat untuk mengaku salah serta memulangkan semula barang yang dicuri. Jangan
lepaskan tawaran ini. Jika tidak pencuri akan dihukum.”
Tiada respons.
“Baiklah, kalau begitu saya tiada pilihan lain. Saya terpaksa menggunakan kayu hikmat ini,” katanya sambil mengeluarkan beberapa
batang kayu yang lurus dan sama sahaja panjangnya.
Semua pengawal tersentak. Kayu hikmat? Timbul gerun di hati masing-masing. Adakah itu benar-benar kayu hikmat?
“Setiap
orang daripada kamu akan diberikan sebatang kayu hikmat ini. Bawa
pulang ke rumah masing-masing. Esok kamu serahkan semula
kayu hikmat ini. Kayu yang didapati lebih panjang sejengkal daripada
yang lain itu tandanya dialah pencuri yang kita cari!”
Masing-masing membawa pulang kayu hikmat. Si pencuri begitu takut tertangkap dengan petunjuk kayu hikmat itu. Dia mula berfikir
mencari helah untuk melepaskan diri.
“Ya,
aku akan potong kayu ini sejengkal. Jika kayu ini memanjang sejengkal,
maka ia akan sama panjang dengan panjang asalnya!’ Fikirnya.
Pada kesokan harinya, semua pengawal menyerahkan kayu hikmat masing-masing. Setelah diperiksa, hanya satu kayu yang berbeza,
namun yang mengejutkan bukannya lebih panjang, tetapi lebih pendek sejengkal!
“Kamulah pencurinya!” Kata penasihat istana dengan yakin.
“Tetapi tuan... kayu hikmat itu bukannya makin panjang, tetapi lebih pendek?”
“Ya.
Sebenarnya kayu ini kayu biasa sahaja. Kayu ini tidak boleh memanjang
pun. Tetapi hari ini saya dapati batang kayu kamu lebih
pendek daipada yang lain. Kamu tahu kenapa?”
Pengawal yang bertanya itu terdiam.
Penasihat
berkata, “Kerana kamu memotongnya dengan anggapan jika kayu itu
memanjang maka ukurannya akan menjadi sama dengan ukuran
asal. Bukankah begitu?”
PENGAJARAN
Kecerdikan
sahaja tidak memadai untuk membina kehidupan yang baik. Apa yang lebih
penting ialah kejujuran. Kejujuran akan menyelamatkan
kita dalam menghadapi segala pancaroba dalam kehidupan.
*Diadaptasi daripada buku Angguk Geleng, Himpunan Kisah Dakwah Satira Oleh Pahrol Mohamad Juoi dan Husna Hassan.
0 comments/pendapat:
Catat Ulasan