Apa nak jadi le dengan negaraku tanah tumpahnya darahku,jual pistol sesenang jual kuih raya...
Bukan sahaja murah tetapi juga senang diperoleh, itu tanggapan yang
dapat diungkap terhadap dua akaun Facebook yang mendakwa menjual senjata
api dalam talian, di negara ini.
Satu daripada akaun itu mendakwa menawarkan pelbagai senjata api
termasuk pistol, revolver dan 'assault rifle' dalam lingkungan harga
antara RM500 dan RM15,000.
Menurut akaun Facebook itu, raifal AK-47 dijual dengan harga RM12,000
manakala pistol Smith & Wesson RM500 dan revolver termasuk dua
kotak peluru dijual pada harga RM15,000.
Satu lagi akaun Facebook mendakwa menawarkan kira-kira 10 jenis
senjata api antaranya E&C M16A4, airsoft gun Tercel M1911 serta
S&T Mosin Nagant Gas Rifle (Real Wood) dengan harga antara RM600 dan
RM1,250.
Berdasarkan gambar yang dipapar, senjata terbabit menyerupai senjata sebenar.
Akaun Facebook itu diwujudkan Februari lalu dan mendapat 688 'likes'
di samping menjadi topik perbualan 141 pengguna yang melayari akaun
berkenaan.
Pengendali akaun juga dapat dihubungi menerusi nombor telefon mudah
alih yang dipapar pada akaun itu serta memberi respons kepada khidmat
pesanan ringkas yang dihantar oleh wartawan
Bernama ini.
Kewujudan dua akaun Facebook itu menimbulkan persoalan mengenai
penguatkuasaan undang-undang di negara ini apabila orang ramai dilihat
dapat memperoleh senjata api dengan mudah tatkala kejadian tembak
meningkat kebelakangan ini.
Sepanjang Julai lepas beberapa kes tembak dilaporkan termasuk yang
berprofil tinggi membabitkan pengasas Ambank Hussain Ahmad Najadi yang
maut ditembak ketika keluar dari sebuah tokong di Lorong Ceylon dekat
sini.
Sehari sebelum itu pada 28 Julai, aktivis pemantau jenayah R. Sri
Sanjeevan parah ditembak dua lelaki dalam kejadian di Bahau, Negeri
Sembilan.
Pada 5 Julai seorang guru di Kelantan cedera parah selepas ditembak di leher.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah
ketika diminta mengulas mengenai kewujudan akaun terbabit, berkata
pihaknya akan menyiasat mengikut Seksyen 11 Akta Senjata 1960 jika benar
mereka menawar dan menjual senjata api di negara ini.
"Jual senjata api tanpa lesen yang sah adalah kesalahan serius," katanya yang dihubungi
Bernama.
Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF), Tan
Sri Lee Lam Thye berkata tindakan mereka yang menjual senjata api secara
terbuka menunjukkan mereka tidak gentar dengan undang-undang sedia ada.
"Hukuman berat perlu dikenakan supaya mereka tidak sesuka hati menjual senjata api.
"Malahan, sebagai negara yang mempunyai undang-undang ketat, pihak
berkuasa dan kerajaan juga harus menjalankan siasatan terperinci agar
mereka dapat ditahan dan menjadi pengajaran kepada penjenayah lain," -sumber utusan