Kerajaan diminta menangguhkan sementara pelaksanaan pindaan Akta Sewa
Beli 1967 kerana ia didakwa menyusahkan pelbagai pihak termasuk
memperlahankan jualan kenderaan.
Setiausaha Kehormat Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu
Malaysia (Pekema), Datuk Ahmad Kemin berkata, jika pelaksanaan
peraturan baru yang mula dikuatkuasakan 16 Jun lalu diteruskan, ia bukan
sahaja memberi kesan kepada pengimport dan penjual, malah pembeli dan
pendapatan kerajaan.
"Ini kerana hasil jualan pengimport dan penjual kereta terjejas sejak
peraturan baru itu dilaksanakan. Apabila jualan kenderaan terjejas,
pendapatan kerajaan dalam bentuk cukai yang dibayar juga berkurangan.
"Contohnya, tahun lalu kerajaan mendapat kira-kira RM1.5 bilion hasil
daripada hasil sebanyak 30,000 AP (Permit Import) yang dikeluarkan.
Tahun ini kerajaan berharap dapat memperoleh pendapatan RM2 bilion
daripada 25,000 AP yang dikeluarkan dan dengan pelaksanaan peraturan
baru ini, saya yakin sasaran itu tidak akan dicapai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahmad yang juga Pengerusi Eksekutif Mutiara Motors Sdn. Bhd.,
mengakui jualan syarikatnya turut terjejas teruk ekoran pelaksanaan
peraturan baru itu.
"Misalnya, jualan kami kira-kira 100 buah kenderaan setiap bulan tapi
bulan ini, kami hanya dapat menjual 16 buah sahaja," katanya.
Bayaran cukai yang dijelaskan kepada kerajaan juga terjejas iaitu
kalau sebelum ini antara RM3 juta hingga RM4 juta sebulan, kini ia
kurang daripada RM1 juta.
Menurutnya, peraturan baru itu juga menyebabkan urusan pembelian dan
pendaftaran kenderaan baru mengambil masa yang lebih panjang.
"Jika dahulu, proses itu mengambil masa kira-kira tiga hari, tetapi
kini ia memerlukan lebih seminggu. Keadaan ini bukan sahaja membebankan
penjual, tetapi juga menjadi rungutan pelanggan kerana mereka lambat
mendapat kenderaan," katanya.
Menurutnya, proses pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
dan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom)
juga mengambil masa yang lama dan lebih membebankan penjual kerana
pelaksanaan peraturan baru itu memerlukan pemeriksaan kenderaan
dilakukan sebanyak dua kali berbanding sekali sebelum ini.
Katanya, pemeriksaan Puspakom yang pertama dibuat semasa kenderaan
import itu tiba dan yang kedua semasa proses jual beli. Pemeriksaan
pertama dikenakan bayaran antara RM185 hingga RM210, manakala yang kedua
sebanyak RM60.
Beliau berkata, lebih memeningkan penjual, surat kelulusan daripada
Puspakom mengambil masa antara tiga hingga empat hari berbanding sehari
sebelum ini.
Ahmad turut menyifatkan peraturan yang mengkehendaki bayaran deposit
kenderaan oleh pembeli diserahkan kepada pihak bank yang memberi
pinjaman sebagai tidak masuk akal.
"Apa alasannya peraturan seperti itu? Bagi saya ia tidak masuk akal
kerana kereta itu bukannya lagi milik bank, ia masih milik penjual,"
katanya.
Justeru, beliau mencadangkan selain menangguhkan sementara
pelaksanaan pindaan akta tersebut, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengadakan pertemuan dan
perbincangan dengan semua pihak terutama syarikat penjual kereta demi
kepentingan semua pihak.
-utusan
0 comments/pendapat:
Catat Ulasan