UCAPAN TERAKHIR TUN MAHATHIR

ANCAMAN MASA DEPAN

Hari ini kita, Pekembar, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, lebih dikenali sebagai UMNO, bersidang buat kali yang ke 54 dalam keadaan aman, makmur dan selamat. Alhamdulillah.

2. UMNO sebagai tunjang kepada sebuah parti campuran, Barisan Nasional, telah memerintah negara Malaysia sejak merdeka 46 tahun dahulu. Bagi sebuah parti yang berjuang untuk kemerdekaan, ini adalah satu rekod. Tidak banyak parti yang berjuang untuk kemerdekaan negara mereka semasa dengan UMNO yang masih ada dan berkuasa.

MALAYSIA TELAH BERUBAH

3. Dalam jangka 46 tahun kemerdekaan, Malaysia telah banyak berubah. Dari negara yang terhad kepada Semenanjung Tanah Melayu sahaja, kita telah membesar menjadi Malaysia dengan penyertaan secara sukarela negeri Sarawak dan Sabah. Jumlah penduduk Malaysia telah meningkat daripada lima juta sewaktu mencapai kemerdekaan kepada 25 juta sekarang.

4. Pembangunan yang pesat telah dicapai dalam penyediaan infrastruktur. Antaranya ialah lebuh raya Utara - Selatan dan Barat - Timur di Semenanjung. Di Sabah dan Sarawak jalan raya belum sampai ke taraf lebuh raya tetapi adalah jauh lebih baik daripada yang terdapat di zaman British.

5. Kawasan luar bandar sudah berubah dengan jalan- jalan kampung bertar, sekolah dan klinik serta bekalan elektrik dan air.

6. Bandar-bandar telah tumbuh dengan pesatnya dengan bangunan pencakar langit juga didirikan di kawasan- kawasan yang dahulu adalah ladang getah dan kelapa sawit. Ibu kota Kuala Lumpur sekarang terkenal dengan Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur. Putrajaya sudah dibangunkan sebagai Ibu Kota Pentadbiran yang segak dan berprestij. Bangunan Sultan Abdul Samad yang dahulu menjadi mercu tanda ibu kota Malaysia sudah diganti dengan bangunan-bangunan yang indah di Putrajaya yang mencerminkan seni budaya dan kemajuan yang dicapai oleh Malaysia.

7. Rakyat berbilang kaum Malaysia hidup rukun damai, aman dan maju berkat dasar Perdana Menteri pertama Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman. Perbezaan ekonomi antara kaum sudah berkurangan. Pesawah dan nelayan Bumiputera mempunyai anak yang menjadi ahli profesional, pegawai tinggi Kerajaan, profesor, panglima angkatan tentera dan jutawan di bidang swasta.

8. Kecekapan eksekutif Melayu / Bumiputera dalam pengurusan syarikat gergasi terbukti dengan pelantikan mereka sebagai pengurus eksekutif dalam syarikat gergasi milik asing.

9. Petronas, sebuah syarikat milik Kerajaan diurus oleh pengurus dan pegawai tinggi Melayu bersama dengan yang bukan Melayu. Daripada sebuah syarikat petroliam nasional yang biasanya bergerak hanya dalam negara, Petronas sekarang terkenal sebagai syarikat petroliam antarabangsa yang aktif di 32 buah negara di dunia, mencarigali, mengeluar dan memasar minyak dan gas di seluruh dunia. Petronas juga terlibat dengan industri petro-kimia secara besar-besaran.

10. Petronas disenarai antara 500 buah syarikat gergasi di seluruh dunia.

11. Dan ramai lagi Melayu yang berjaya sebagai peniaga, pengusaha dan pengurus dalam syarikat besar dan berjaya dalam dan luar negara. Kontraktor Melayu membina jalanraya dan bangunan-bangunan di negara- negara asing, selain di negara sendiri.

12. Jelas sekali ramai Melayu / Bumiputera mempunyai kebolehan dan kecekapan yang sama dalam bidang perniagaan seperti kaum lain. Mereka boleh dan mereka telah buktikan kebolehan mereka.

13. Semangat dan jiwa besar mereka juga diperlihatkan apabila adanya anak Melayu yang sanggup belayar seorang diri mengelilingi dunia, mendaki gunung Everest, berenang 48 kilometer dari daratan ke Pulau Langkawi, menjadi juara badminton dan lain-lain.

14. Pentadbir Melayu juga berjaya mengurus pembangunan Malaysia dengan begitu baik sehingga mereka diundang untuk menasihat negara-negara lain dalam berbagai-bagai urusan pentadbiran dan pembangunan.

15. Sekarang Malaysia sudah terkenal di seluruh dunia kerana peranannya di arena antarabangsa. Suaranya lantang dan pendapatnya dihormati. Keupayaan Malaysia menangani krisis kewangan pada tahun 1997 - 1998 dengan caranya sendiri sudah diakui.

DUNIA TELAH BERUBAH

16. Tetapi dunia juga telah berubah. Kemajuan penerbangan pesawat penumpang jet dan teknologi telekomunikasi menjadikan dunia semakin kecil. Semua negara di dunia menjadi jiran yang dekat. Tidak ada apa-apa yang dapat disembunyi atau dirahsiakan.

17. Konsep tidak campurtangan dalam urusan dalaman negara merdeka sudah diganti dengan konsep campurtangan secara tidak langsung dan langsung, termasuk penukaran Kerajaan tertentu oleh kuasa asing. Jika perlu kekerasan diguna untuk tujuan ini.

18. Kejatuhan Blok Timur Komunis menjadikan dunia ini unipolar, di mana pihak yang menang, iaitu blok kapitalis, membenar hanya sistem kapitalis pasaran terbuka dan demokrasi liberal bagi semua negara di dunia.

19. Globalisasi diperkenalkan dan dibentuk oleh negara Barat untuk memudahkan mereka menguasai ekonomi dunia.

20. Ternampak jelas yang bangsa-bangsa Eropah ingin kembali menakluki dunia. Walaupun penaklukan ini pada mulanya tidak secara langsung, hari ini mereka sudah mula menceroboh dan menawan negara-negara tertentu untuk keselamatan mereka kononnya, dan untuk mengeksploit kekayaan yang ada pada negara-negara berkenaan.

21. Ekonomi Asia Timur telah tumbuh dengan pesat sejak lepas Perang Dunia II. Bermula dengan Jepun; Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Asia Tenggara telah mencapai kemajuan yang pesat. Tetapi yang menakjubkan ialah negara China yang menggugurkan sistem perancangan pusat (central planning) dan menerima secara terhad sistem pasaran terbuka. Dalam jangka masa yang amat singkat negara Komunis yang miskin ini telah menjadi sebuah negara yang kaya dengan kemungkinan mengadakan pasukan perang yang besar.

22. Perkembangan ini menakutkan jiran terdekat dan musuh China yang lama, iaitu Jepun dan Korea Selatan.

23. Negara Barat pula berasa kurang senang dengan China sebagai kuasa ekonomi dan ketenteraan yang berwibawa.

24. Dengan ini iklim antarabangsa menjadi amat mencabar bagi semua pihak termasuk Malaysia. Dalam keadaan ini bangsa-bangsa Eropah telah mula menunjukkan sifat-sifat lama yang ada pada mereka.

25. Sejarah Melayu di zaman British boleh memberi banyak pelajaran kepada kita berkenaan bangsa-bangsa Eropah.

26. Kita telah dijajah oleh tiga bangsa Eropah. Selama 450 tahun kita berada di bawah pemerintahan kolonial mereka. Sekarang kita dan bangsa-bangsa Asia menghadapi bahaya dijajah semula oleh mereka.

BANGSA EROPAH PERLU DIKENALI

27. Justeru itu kita perlu kenal baik-baik bangsa Eropah kerana kehidupan kita, nasib kita akan ditentukan oleh cara kita berinteraksi dengan bangsa- bangsa Eropah dan keturunan mereka. Di sini bangsa Eropah termasuk mereka yang berhijrah dan mendirikan negara-negara baru di benua Amerika, Australia dan New Zealand. Mereka biasanya dipanggil orang putih, orang kulit putih, orang Barat. Tetapi ramai yang berkulit putih, ramai yang tinggal di Barat yang bukan daripada bangsa Eropah. Bangsa Eropah adalah bangsa negara- negara Eropah. Sebab itu saya panggil mereka bangsa Eropah, bukan pun Mat Salleh. Kata bangsa Inggeris "call a spade a spade". Panggil sesuatu dengan nama yang tepat. Oleh itu dalam ucapan ini saya panggil bangsa Eropah, bangsa Eropah.

28. Saya bukan anti bangsa Eropah. Saya mempunyai ramai kawan dan kenalan daripada bangsa Eropah. Saya berasa serba salah hendak menegur bangsa Eropah kerana kenalan saya tentu akan tersinggung. Negara Eropah yang berbaik dengan kita juga akan tersinggung. Sudah tentu media mereka akan mengecam saya sebagai seorang "racist". Tetapi saya anggap pendedahan akan siapa dianya orang Eropah sudah menjadi begitu penting sehingga risiko menjadi mangsa perlu diambil.

29. Bangsa-bangsa Eropah mempunyai asal dan budaya yang sama, iaitu berteraskan tamadun Greek dan Roma. Mereka amat pintar, berani dan mempunyai sifat ingin tahu atau "curiousity" yang kuat. Mereka tidak pernah berpuas hati dengan apa-apa yang ada pada mereka melainkan mereka ingin memperbaiki segala-gala supaya menjadi lebih baik, lebih produktif dan berkesan untuk apa juga matlamatnya. Tidak ada suatu apa, samada alatan, sistem atau ideologi yang tidak diperbaiki sepanjang masa.

30. Kadang-kadang dalam keghairahan mereka untuk memperbaiki keadaan atau barangan yang sedia ada, mereka merosakkan dan mendatangkan hasil yang buruk. Namun mereka tidak serik dan mereka terus mencuba memperbaiki segala apa yang ada pada mereka ataupun pada orang lain.

31. Malangnya mereka juga tamak dan suka merampas wilayah dan hak orang lain. Sejarah mereka selama lebih 2000 tahun memperlihatkan peperangan yang tidak habis-habis untuk merebut wilayah dan memperluaskan kuasa masing-masing di dunia.

32. Pada mulanya rebutan dan perang terhad kepada wilayah Eropah sahaja. Tetapi apabila mereka menguasai ilmu pelayaran jauh, mereka perluaskan rebutan dan peperangan mereka ke seluruh dunia. Orang Cina, Arab dan India sampai ke Asia Tenggara lebih awal tetapi tidak berperang dan menakluk wilayah ini. Tetapi apabila sampai sahaja bangsa-bangsa Eropah maka wilayah Asia Tenggara seperti juga dengan wilayah lain di Afrika, Amerika Utara dan Selatan, Australia dan Kepulauan Pasifik, dicerobohi, diserang dan diperangi untuk menjadikan wilayah-wilayah ini milik mereka, merampas segala kekayaan dan menindas, menghina dan melakukan "genocide".

33. Oleh kerana mereka suka berperang dan merebut wilayah orang lain, tumpuan mereka ialah kepada ciptaan dan pembuatan senjata yang boleh membunuh dengan lebih efisien. Tidak ada satu alatan yang tidak diubah untuk menjadi senjata untuk membunuh, untuk memberi mereka kemenangan dalam peperangan.

34. Orang Cina mencipta bahan letupan dan menggunanya untuk membuat bising supaya naga tidak dapat menelan bulan atau matahari semasa gerhana. Atau hanya sebagai mercun semasa perayaan. Tetapi apabila bangsa Eropah menemui bahan letupan Cina, perkara yang pertama yang difikirkan ialah bagaimana ia boleh digunakan untuk melontar peluru lebih jauh. Sejak itu berbagai-bagai alatan dicipta untuk membunuh dari jarak jauh. Meriam disusuli dengan bom, roket, "missile", "nuclear warheads" dan bermacam-macam lagi. Hari ini jumlah senjata nuklear mereka boleh menghancurkan seluruh dunia, tetapi masih mereka tidak puas hati. Masih lagi penyelidikan dibuat untuk "warhead" yang lebih kuat, lebih berkesan. Dalam sejarah dunia hanya bangsa Eropah sahaja yang pernah menggugur bom nuklear yang menghancurkan kotaraya dengan jumlah kematian serentak yang terbesar yang pernah berlaku daripada hanya dua butir bom.

35. Apabila mereka cipta kereta bermotor, maka tidak lama selepas itu, kereta kebal pun menjelma. Kapal terbang menghasilkan pesawat pengebom dan pejuang. Kapal untuk dagangan menjadi kapal perang dan kapal selam. Dan semua ini ditingkatkan keberkesanannya sepanjang masa untuk membunuh manusia dengan lebih efisien.

36. Hari ini berbilion-bilion dolar dibelanja untuk mencipta senjata-senjata yang lebih canggih, membekalkan angkatan perang mereka dengan senjata- senjata ini, melatih pasukan cara berperang, membuat segala persediaan untuk berperang walaupun tidak ada musuh semasa dan di masa depan yang mengancam mereka. Dan mereka telah membuktikan bahawa mereka sanggup mencipta sebab palsu untuk berperang dan membunuh kanak- kanak, orang tua, orang sakit dan siapa sahaja dan menganggap semua orang ini sebagai "collateral" yang tidak dibenar menghalang pencapaian hasrat mereka.

37. Berperang dan kehandalan membunuh menjadi sesuatu yang mulia bagi bangsa Eropah. Jaguh perang diberi gelaran "knights". Sekejap-sekejap mereka ini akan melancar serangan untuk memperluaskan kawasan Tuan atau "Lord" mereka. Sebab itu sejak dahulu lagi kampung dan bandar mereka dikelilingi tembok batu dan longkang yang luas.

38. Bagi mereka segala masalah mestilah diselesaikan melalui ujian kekuatan. Siapa yang menang dialah yang benar dan dialah yang patut mengambil semua untuk dirinya. Yang kalah hilang semua. Demikian jugalah cara mereka menyelesaikan pertikaian di antara pekerja dengan majikan. Siapa yang menang dalam tindakan perusahaan dialah yang mendapat semuanya.

39. Sejarah Eropah adalah sejarah berperang, sejarah menguji kekuatan. Apabila mereka bertemu dengan penduduk di luar Eropah, di Afrika, Amerika dan Asia, mereka terus berperang untuk menawan wilayah-wilayah orang ini, dan mendirikan negara-negara baru dan empayar mereka.

40. Tidak ada belas kasihan yang ditunjuk oleh mereka. Bangsa tempatan dihalau keluar dan dibunuh dengan sewenang-wenangnya. Banyaklah suku kaum pupus hasil serangan mereka. "Genocide" bagi mereka adalah "final solution", penyelesaian terakhir.

41. Sepatutnya mereka mempunyai perasaan belas kasihan kepada orang asli tempatan kerana mereka sendiri telah dihalau keluar dari negara mereka di Eropah. Tetapi apabila mereka sampai ke Dunia Baru, "New World" kepada mereka, dunia lama bagi penduduk tempatan, mereka menghalau orang tempatan dari tanah mereka dan merampas harta benda penduduk. Sesiapa yang mempertahankan wilayah diperangi, dibunuh atau diperhambakan.

42. Dalam percubaan merebut seberapa besar wilayah untuk dijadikan tanah takluk mereka, bangsa-bangsa Eropah berperang sesama sendiri. Kerapkali penduduk tempatan dikerah untuk mengambil bahagian dalam peperangan dan rompakan mereka.

43. Permusuhan antara mereka meningkat kerana masing- masing ingin menakluk wilayah yang lebih besar, mendirikan empayar, menjadi kuasa utama di dunia. Kerana ini mereka melancar perang secara besar-besaran yang melibatkan seluruh dunia.

44. Perang Dunia Pertama dilancarkan pada tahun 1914 dan tamat pada 1918 setelah lebih daripada 20 juta rakyat mereka dan askar dari tanah takluk mereka terbunuh dan berbilion-bilion dolar harta dimusnahkan.

45. Tetapi mereka belum puas hati. Hanya 20 tahun selepas Perang Dunia Pertama, mereka berperang lagi dalam Perang Dunia Kedua. Kali ini keganasan bangsa Eropah meningkat ke puncak. Lima puluh juta lebih daripada rakyat mereka dan rakyat empayar mereka terbunuh. Mereka menggunakan "carpet bombing" untuk meranapkan bandar-bandar dengan semua penduduk.

46. Akhir sekali mereka menggugurkan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki, negara Jepun, negara orang bukan Eropah. Walaupun bom nuklear ini memberi kemenangan kepada mereka tetapi bangsa-bangsa Eropah terkejut dengan kuasa bom nuklear dan "radiation" darinya yang boleh membunuh mangsa bertahun-tahun selepas bom digugurkan.

47. Bangsa-bangsa Eropah berasa amat takut kalau-kalau perang nuklear di antara mereka sendiri berlaku dan bangsa mereka terbunuh dan negara-negara mereka hancur kerana penggunaan senjata nuklear. Kerana ketakutan ini mereka membuat perjanjian antarabangsa bagi mengawal pengeluaran, ujian dan penggunaan bahan letupan nuklear dalam peperangan.

48. Tetapi beberapa daripada mereka juga yang tidak menandatangani perjanjian "Nuclear Non-Proliferation Treaty". Mereka terus mengkaji selidik, mencipta, dan menguji jenis letupan nuklear yang baru untuk bom dan `warhead` lain.

49. Bangsa Eropah amat benci kepada orang Yahudi sejak sebelum mereka beragama Kristian lagi. Selepas menjadi Kristian mereka salahkan orang Yahudi kerana membocor kegiatan Nabi Isa kepada pemerintah Rom yang menyebabkan Nabi Isa mati disalib.

50. Oleh kerana ini, sehingga lepas Perang Dunia Kedua, orang Eropah menindas orang Yahudi yang berhijrah ke negara-negara mereka. Tiap tahun diadakan "Pogrom" dan "Inquisition" dengan pembunuhan orang Yahudi beramai-ramai. Percubaan untuk menyelesaikan masalah Yahudi memuncak semasa Perang Dunia Kedua dengan pembunuhan enam juta orang Yahudi.

51. Tetapi selepas Perang Dunia Kedua orang Yahudi masih ada di Eropah. Untuk mengeluarkan orang Yahudi dari Eropah, mereka merampas wilayah Palestin untuk dijadikan negara Israel. Bukan sahaja tanah, rumah dan ladang orang Arab Palestin yang dirampas tetapi orang Arab dihalau keluar dari wilayah mereka yang dijadikan Israel.

52. Sejak itu Asia Barat tidak pernah aman. Percubaan orang Palestin untuk mendapat balik wilayah mereka ditentang oleh orang Eropah. Sebaliknya mereka menyokong Israel walaupun Israel merampas tanah Palestin di luar Israel dan membunuh rakyat Palestin.

53. Lontaran batu oleh kanak-kanak Palestin dibalas dengan tentera Israel menembak mati kanak-kanak yang membaling batu ini. Namun orang Eropah tidak mengutuk Israel. Tetapi serangan berani mati oleh rakyat Palestin dikutuk oleh mereka.

54. Serangan pada 11 September ke atas Amerika Syarikat yang menyokong Israel dijadikan alasan bagi orang Anglo-Saxon Eropah kembali ganas dan bengis.

55. Strategi mereka melawan keganasan ialah dengan melancarkan serangan terhadap negara-negara Islam dan orang Islam, sama ada yang bersalah atau yang tidak bersalah.

56. Dengan membuat bermacam-macam tuduhan yang tidak berasas, mereka melancarkan peperangan ke atas negara Islam, menggunakan senjata pemusnah mereka, membunuh orang awam, dan menghancurkan bandar-bandar.

57. Amerika dan Britain tidak menghiraukan langsung kecaman dunia terhadap tindakan mereka. Tentangan oleh bangsa mereka sendiri pun tidak dipedulikan. Mereka ingin menunjuk kepada dunia bahawa mereka kuat dan sesiapa yang mencabar mereka akan diserang oleh tentera mereka habis-habisan.

58. Apa yang saya katakan di sini semuanya benar. Ia bukan rekaan yang dibuat kerana ingin menakutkan kita, supaya kita mengambil berat terhadap amaran akan bahaya yang dihadapi. Sekali lagi ingin saya ulangi bahawa saya bukan anti bangsa Eropah bukan "racist". Bukan niat saya untuk menimbulkan kebencian kepada bangsa Eropah. Tetapi amatlah penting kita kenali bangsa ini dan sejarah tindak-tanduk mereka kerana mereka akan memainkan peranan yang besar dalam kehidupan kita, terhadap bangsa kita, agama kita dan negara kita. Kegagalan kita mengenali mereka akan menyukarkan persediaan dan strategi kita untuk menyelamatkan diri kita.

59. Perjuangan melawan Malayan Union dan merebut Kemerdekaan sudah berlalu. Kita telah mencatat kejayaan bukan sahaja dalam memerintah negara kita yang merdeka tetapi membangunkannya dengan begitu pesat. Ramai daripada kita yang berpendapat bahawa sekali merdeka selama-lamanya merdeka. Justeru itu kita tidak perlu khuatir akan perkembangan di luar negara kita.

60. Tetapi hari ini, bahaya yang dihadapi oleh kita adalah lebih besar daripada yang kita hadapi pada pertengahan abad ke-20 di waktu mana percubaan dibuat oleh British untuk merampas tanah Melayu dan mendirikan Malayan Union.

BAHAYA YANG DIHADAPI

61. Hari ini kita lihat bagaimana percubaan telah dibuat untuk menjadikan kita pengemis dengan menjatuhkan nilai Ringgit kita. Hari ini kita lihat bagaimana kuasa besar menyerang dan menakluki negara- negara lemah. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu jelas tidak mampu melindungi sesiapa. Tidak ada kuasa lain yang sanggup menolong jika kita dijadikan sasaran.

62. Dunia yang akan kita hadapi dalam dekad-dekad dan abad-abad yang akan datang akan memperlihatkan berbagai- bagai percubaan oleh Bangsa Eropah untuk menakluk kita secara langsung atau tidak langsung. Jika tidak negara kita yang dicerobohi, pemikiran kita, budaya kita, agama kita dan lain-lain akan dijadikan sasaran.

63. Dalam bidang budaya dan sosial mereka ingin melihat kebebasan individu yang tidak terhad. Bagi mereka kebebasan individu adalah perkara yang tidak boleh dipersoalkan. Mereka sudah menolak institusi perkahwinan dan kekeluargaan. Sebaliknya mereka terima amalan seks bebas termasuk liwat sebagai sesuatu hak. Perkahwinan di antara lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan diiktiraf secara rasmi. Apa yang kita dakwa sebagai sumbang mahram tidak dipandang serius oleh mereka.

64. Larangan menukar agama di kalangan orang Islam, sistem perundangan yang berbeza dengan mereka, semuanya akan dipersoalkan. Media mereka akan diguna untuk memburuk semua yang kita amalkan. Badan-badan bukan Kerajaan akan dihasut supaya menuntut segala yang tidak disenangi oleh bangsa Eropah, supaya dikaji dan dipinda dan akhirnya ditolak kerana dianggap menidakkan kebebasan individu.

65. Budaya dan nilai hidup yang akan dipaksa kita terima ialah "hedonisme" iaitu keseronokan yang tidak terhad, kebebasan mengikut nafsu, khususnya nafsu seks. Cara hidup kita akan dipersamakan dengan cara hidup mereka. "Asian values" tidak akan wujud bagi mereka.

66. Sistem dan urusan ekonomi kita juga mestilah mengikut sistem pasaran bebas rekaan mereka. Kerajaan tidak boleh campur tangan atau mengadakan aturan- peraturan untuk menentukan arus dan memberi perlindungan kepada yang lemah. Masalah imbangan pembangunan antara kaum bukanlah tanggungjawab pasaran bebas. Pasaran bebas bermakna siapa yang besar, kuat, bermodal, mereka akan mengambil semua untuk mereka.

67. Warganegara tidak boleh diberi layanan istimewa. Syarikat asing mestilah bebas masuk mana-mana negara untuk bersaing dengan perniagaan dan bank tempatan. Kemungkinannya ialah syarikat kecil tempatan akan ditelan oleh syarikat gergasi mereka, dan kita menjadi pekerja upahan di bawah mereka. Semuanya kononnya bergantung kepada "merit" dan bukan kerana persaingan yang tidak adil, memandangkan betapa besar dan berpengalaman syarikat mereka. Akibatnya, mereka akan menguasai bidang ekonomi semua negara sepenuhnya.

68. Jika ada sesiapa yang menentang dan menolak sistem pasaran bebas yang dianjurkan oleh W.T.O. (Pertubuhan Dagangan Sedunia), mereka boleh dikenakan tindakan yang akan merosakkan ekonomi mereka. Melalui W.T.O. mereka, orang Eropah telah memperkenalkan "rule-based trading" iaitu semua perniagaan dalam atau luar negara mestilah tertakluk kepada peraturan-peraturan W.T.O. yang mereka cipta. Mana-mana negara yang tidak mengikut aturan- peraturan ini boleh dikenakan pelbagai tindakan, seperti sekatan dagangan atau "sanction" dan lain-lain, yang boleh merosakkan lagi ekonomi negara.

69. Walaupun semasa Perang Dingin di antara blok Barat dan blok Timur sedang berlaku, dunia masih dapat dipulih dengan baik. Tahun-tahun enam puluhan, tujuh puluhan dan lapan puluhan memperlihatkan kemajuan yang ketara dalam ekonomi dunia.

70. Secara relatif dunia pada masa itu aman dan bebas daripada ancaman. Dengan itu tabiat melancong berkembang dan industri penerbangan serta pembuatan pesawat jet penumpang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara-negara di dunia. Berjuta-juta pelancong dan ahli peniagaan membanjiri lapangan-lapangan terbang di seluruh dunia sehingga lapangan terbang terpaksa dibesarkan dan ditambah setiap tahun. Pesawat jet yang semakin besar dan terbang semakin jauh dicipta dan beratus dibuat dan dijual oleh syarikat seperti Boeing, Lockheed dan Airbus. Hotel-hotel mewah didirikan di seluruh dunia yang menjana peluang kerja yang banyak, termasuk dari negara membangun.

71. Pertemuan mikrocip, iaitu alat putaran elektrik yang halus, membawa revolusi dalam bidang pembuatan. Dengan mikrocip perkiraan di percepatkan berpuluh ribu kali ganda dan membolehkan alat komputer dicipta dan diguna bukan sahaja untuk kira mengira tetapi untuk menghantar maklumat melalui suara, tulisan dan gambar di mana sahaja di seluruh dunia.

72. Permintaan untuk mikrocip meningkat dengan pesat dan kilang-kilang untuknya didirikan di mana sahaja, termasuk di negara-negara membangun seperti Malaysia. Kekayaan sebilangan daripada negara-negara di dunia menyebabkan permintaan untuk barangan buatan termasuk kereta bermotor melonjak tinggi dan banyak negara yang beralih daripada pertanian kepada industri pembuatan mencapai kemajuan.

73. Di Malaysia pertumbuhan ekonomi yang tinggi dicapai dengan KDNK mencatat lebih daripada lapan peratus tiap tahun berturut-turut selama 10 tahun. Tidak ternampak apa-apa yang boleh menghalang Malaysia daripada menjadi negara maju menjelang 2020.

74. Dasar kita ialah memperkayakan jiran - "Prosper thy Neighbour". Ini bukanlah semata-mata kerana ingin menolong jiran. Hakikatnya ialah apabila jiran makmur kita akan turut makmur kerana dapat meningkatkan perdagangan dengan mereka. Sebaliknya apabila jiran bermasalah, bukan sahaja perdagangan tidak dapat diadakan tetapi masalah mereka akan tumpah ke dalam negara kita. Oleh yang demikian memperkayakan jiran sebenarnya adalah dasar yang mengutamakan kepentingan diri secara bertimbang rasa. Dan dasar ini membawa banyak kebaikan kepada kita, menyumbang kepada kestabilan serantau dan pertumbuhan ekonomi juga.

75. Sesungguhnya dunia selepas Perang Dunia Kedua amat maju. Tetapi percubaan dibuat oleh bangsa Eropah untuk memperbaiki keadaan dengan menyusun semula segala sistem dan amalan perdagangan, politik dan sosial untuk kononnya menjadi lebih baik dan adil.

76. Jepun yang begitu maju dahulu telah menjadi mangsa pendekatan baru ini. Sehingga sekarang Jepun tidak dapat memulih ekonominya.

77. Malaysia yang sedang tumbuh dengan begitu pesat telah diserang oleh penyangak matawang yang mendakwa mereka bertanggungjawab untuk mendisiplinkan Kerajaan- Kerajaan di dunia. Hasilnya ialah pertumbuhan ekonomi di Malaysia dan di seluruh Asia Timur terbantut dan terus merosot. Sehingga sekarang pemulihan ke tahap seperti dahulu tidak dapat dicapai.

78. Pemulihan menjadi lebih sukar apabila segala penipuan dan jenayah perdagangan di Amerika Syarikat terdedah. Syarikat-syarikat Dot.Com yang saham mereka meningkat dengan mendadak tanpa sebab telah runtuh. Kemudian syarikat-syarikat gergasi Enron, World.com, Arthur Anderson, dan berpuluh lagi syarikat besar dan kecil dikesan telah menipu dengan menyimpan akaun yang tidak berasas kepada prestasi perniagaan mereka.

79. "Hijack" menjadi perkataan di mulut semua orang di dunia apabila beberapa pesawat penerbangan awam dirampas oleh pengganas. Puncak kepada rampasan ini ialah apabila pesawat yang dirampas diguna sebagai peluru berpandu untuk merempuh World Trade Centre di New York. Kejadian ini menakutkan pelancong dan ahli perniagaan sehingga jumlah penumpang syarikat penerbangan turun lebih rendah daripada 30 peratus di Amerika Syarikat.

80. Ini menyebabkan kemerosotan teruk industri perhotelan dan industri-industri lain yang berkaitan dengan pelancongan. Hampir semua syarikat penerbangan Amerika Syarikat jatuh bankrap dengan kerugian beratus bilion dolar.

81. Pemburuan pengganas menjadi keadaan dunia tegang dan tidak selamat. Bom diletup di merata tempat di dunia. Afghanistan dan Iraq diserang dan Syria dan Iran diberi amaran akan diserang jika tidak menukar Kerajaan.

82. Demikian kemewahan hidup dan keamanan yang berterusan selama hampir 30 tahun di dunia yang sepatutnya menjadi lebih baik setelah Perang Dingin tamat, telah dihentikan kerana pihak tertentu ingin memperbaiki apa yang sudah baik. Dengan memperkenalkan pendekatan baru dalam pembangunan ekonomi dunia, dengan keghairahan untuk merebut kekayaan, dengan melupakan kemiskinan dan penderitaan sebahagian besar daripada penduduk dunia, dengan mengizin rampasan wilayah di sana sini, segala kemajuan yang dicapai dahulu telah musnah.

83. Sekarang kemungkinan ekonomi dunia dipulih ke tahap sebelum krisis ekonomi dan kewangan tahun 1997 sudah menjadi pudar. Ia tidak ternampak kerana jauh daripada berusaha untuk mententeramkan dunia, pihak tertentu sedang merancang untuk menggunakan kekerasan bagi menjayakan agenda mereka.

DEMOKRASI ADA KECACATAN

84. Dalam bidang politik, semua negara mestilah mengamalkan ideologi "Demokrasi Liberal". Kita akui demokrasi adalah sistem pemerintahan yang terbaik yang pernah dicipta oleh manusia. Tetapi ia tidaklah bebas daripada kecacatan. Bagi mereka yang tidak faham had atau sempadan demokrasi, kemungkinannya ialah Kerajaan yang tidak berwibawa, atau yang penuh dengan korupsi akan memerintah. Kadang kala anarki di mana undang- undang tidak dapat dikuatkuasakan akan menimpa negara yang cuba mengamalkan demokrasi yang liberal.

85. Demokrasi bergantung kepada sokongan ramai. Sokongan ini boleh didapati kerana kecekapan calon dan parti dalam memerintah dan membangunkan negara. Tetapi sokongan ramai boleh juga didapati kerana sentimen perkauman, kerana sengaja menyalahtafsirkan agama atau dengan menyogok pengundi.

86. Dalam masa yang sama pengundi pula boleh menggunakan perkauman, kehendak agama kononnya, atau menuntut sogokan bagi diri sendiri atau kumpulan. Dengan ini yang menang dan menjadi Kerajaan bukanlah yang layak dan cekap, tetapi mereka yang mempunyai perasaan perkauman yang tebal atau mereka yang menyalahtafsirkan agama dan memperalatnya atau mereka yang korup. Pemerintahan oleh orang seperti ini akan merosakkan negara. Sebaliknya, parti yang cekap dan bersih daripada sogokan dan rasuah akan kalah.

87. Mungkin niat bangsa Eropah memaksa penerimaan demokrasi adalah baik dan mereka tidak merancang untuk merosakkan negara-negara membangun dengan sengaja. Mereka mungkin percaya bahawa demokrasi akan membawa kebaikan kepada negara membangun seperti ianya membawa kebaikan kepada mereka. Tetapi mereka lupa masa yang panjang yang diambil oleh mereka untuk memahami cara mendapat hasil daripada sistem ini. Rebutan kuasa dalam demokrasi dalam negara yang baru demokratik kerap menyebabkan ratusan parti politik ditubuh. Kerajaan yang berwibawa tidak mungkin ditubuhkan jika sokongan rakyat terbahagi kepada beratus parti. Tidak akan ada satu parti yang akan dapat cukup bilangan wakil untuk mendirikan Kerajaan yang berwibawa.

SLOGAN "REGIME CHANGE"

88. Kita di Malaysia berjaya mengamalkan demokrasi. Tetapi orang Eropah tidak senang hati. Mereka ingin lihat penukaran Kerajaan yang kerap supaya huru-hara berlaku dan pembangunan tidak dapat diadakan. Slogan mereka sekarang ialah "Regime Change". Kerana ini tidak berlaku dan negara kita terus aman dan maju maka dituduh kita tidak demokratik dan berpemerintahan kuku besi, diktator.

89. Siapakah mereka yang menuduh negara ini diperintah secara autoritarian? Bukankah mereka bekas penjajah yang autoritarian dan zalim dan bukankah mereka ini baru sahaja melanggar sebuah negara yang lemah dengan membunuh ramai orang awam supaya dapat menguasai negara berkenaan? Demokratikkah cara mereka memaksa "Regime Change"? Lihat dahulu dalam cermin sebelum mengata orang lain. Masalah bangsa Eropah ialah mereka menganugerahkan kepada diri mereka hak menjadi hakim terhadap pandangan mereka sendiri.

90. Tetapi teguran mereka mungkin mempunyai muslihat tertentu. Kerana kita kononnya tidak demokratik maka campur tangan mereka dalam urusan negara kita adalah sesuatu yang wajar. Akan ada ramai daripada rakyat negara ini yang akan terpengaruh dengan hasutan mereka dan menentang kuat Kerajaan. Akibatnya ialah negara menjadi tidak stabil, tidak dapat dibangun dan rakyat menderita.

91. Mereka akan mengecam dengan keras tuduhan ini. Tidak ada niat jahat oleh mereka, tidak ada konspirasi untuk menghalang kemajuan sesiapa. Mereka hanya menegur. Tetapi kita jangan lupa kritik mereka walaupun tidak berasas telah dijadikan alasan bagi mereka menekan dan menakluk negara lain.

92. Yang mula bercakap berkenaan dengan "Regime Change" ialah Ariel Sharon, Perdana Menteri Israel. Arafat mesti diganti dengan pemimpin yang boleh diterima oleh mereka. Hari ini orang Eropah bercakap tentang pentingnya "Regime Change" diadakan di negara- negara tertentu. Jangan ingat kita tidak akan jadi sasaran. Mereka amat kecewa apabila calon mereka dahulu gagal. Mereka akan cuba lagi.

93. Inilah persekitaran luar yang kita hadapi sekarang dan yang akan mengancam kita di masa hadapan. Alhamdulillah sehingga kini kita berjaya mempertahankan kebebasan dan kemerdekaan negara kita. Ini adalah kerana kita berhati-hati dan mampu mengelak daripada terjatuh dalam jerat yang dipasang oleh mereka.

CABARAN DALAM NEGARA

94. Di dalam negara pula persekitaran tidak kurang mencabar. Usaha untuk menyatupadu kaum belum berjaya sepenuhnya. Generasi pelapis terpisah kerana mereka memilih sekolah-sekolah mengikut kaum.

95. Untuk perpaduan dan untuk meningkatkan daya saing rakyat kita dan negara kita, Kerajaan telah memperkenalkan pelajaran bahasa Inggeris dan pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Ibu bapa menerima baik langkah ini tetapi seperti biasa parti politik cuba mempolitikkan isu ini.

96. Kita juga bercadang untuk mengadakan latihan khidmat negara untuk semua kaum dengan tujuan merapatkan generasi muda berbagai-bagai kaum. Bentuk Khidmat Negara ini belum dimuktamadkan. Insya Allah pada tahun 2004 khidmat ini akan dilaksanakan.

97. Agama Islam memainkan peranan yang penting dalam kehidupan sebahagian besar daripada penduduk Malaysia. Umat Islam di Malaysia semuanya adalah daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mengikut ajaran Imam Shafie. Sepatutnya umat Islam di negara ini bersatu padu dan tidak ada perbalahan antara mereka.

98. Malangnya apabila sistem demokrasi diperkenalkan semasa perjuangan kemerdekaan maka keinginan untuk mendapat tempat, mendapat kuasa telah mempengaruhi mereka yang berpelajaran agama untuk memisah diri daripada aliran perdana, daripada UMNO dan menubuhkan Parti Islam SeMalaya, terjemahan daripada nama asal iaitu Pan Malayan Islamic Party, PMIP. Sekarang parti ini dikenali sebagai PAS, singkatan yang tidak tepat bagi Parti Islam Malaysia, entah kenapa?

99. Hakikatnya ialah dalam usaha untuk menarik sokongan baginya PAS sengaja menyalahtafsirkan agama Islam. Semakin lama semakin jauh dan semakin buruk tafsiran yang dibuat. Daripada menuduh orang UMNO tidak Islam, mereka sudah sampai ke tahap mendakwa Tuhan suka mencarut seperti seorang pemimpin parti mereka dan Tuhan adalah samseng.

100. Banyaklah lagi tafsiran yang bertentangan dengan ajaran Islam yang dibuat oleh pemimpin PAS. Orang Islam di Malaysia menjadi keliru akan ajaran Islam dan mereka tidak dapat bersatupadu. Perpecahan antara mereka melemahkan orang Islam di zaman yang orang Islam penting bersatu untuk menyelamatkan diri mereka.

101. Untuk mengatasi masalah ini, jalan terbaik ialah membekal rakyat, terutamanya generasi muda, dengan ajaran Islam yang sebenar, supaya mereka dapat menangkis sendiri ajaran yang salah.

102. Malangnya ajaran salah ini, disemai semasa generasi pelapis masih kecil, di tadika dan di Sekolah Agama Rakyat dan kadang-kadang oleh guru agama di sekolah Kebangsaan. Kita sudah lihat apabila generasi ini membesar mereka akan percaya secara buta tuli tafsiran agama yang salah ini. Mereka tidak tahu berterima kasih dan bersyukur, suka lempar fitnah dan percaya fitnah yang dilempar oleh orang tertentu dan mereka bermusuh ketat dengan orang Islam lain. Mereka sudah sampai ke tahap mencuba menjatuhkan Kerajaan pilihan rakyat dengan menggunakan senjata dan menjadi pengganas, perompak dan pembunuh.

103. Justeru itu, Kerajaan terpaksa bertindak untuk memberhentikan penyebaran ajaran salah melalui sekolah dan saluran lain. Kerajaan telah memberi bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat kerana sekolah-sekolah ini diminati oleh ibu bapa yang ingin melihat anak mereka mendapat pelajaran agama. Oleh kerana bukan ajaran agama Islam yang sebenar yang disampaikan di Sekolah Agama Rakyat tetapi sebaliknya ajaran yang bertentangan dengan Islam yang diajar, Kerajaan tidak lagi dapat membantu sekolah-sekolah ini. Kerajaan dan pemimpin Kerajaan yang beragama Islam akan berdosa jika bantuan diberi kepada sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Kita tidak tutup sekolah ini. Kita hanya tidak bantu. Mereka yang terus membantunya akan tanggung dosa kerana sekolah ini bukan sekolah agama tetapi adalah pusat indoktrinasi parti PAS.

104. Kerajaan akan mengawal segala penyelewengan dalam pengajaran ajaran Islam dan akan menyediakan kemudahan untuk belajar agama Islam yang sebenar di sekolah- sekolah kebangsaan untuk menentukan generasi akan datang dapat menolak bukan sahaja ajaran yang salah berkenaan dengan agama tetapi dapat mengenal di antara yang baik dengan yang buruk, yang salah dengan yang betul.

105. Masalah dalaman yang juga mencabar kita ialah pengurusan ekonomi dan kewangan kita. Untuk ini kita telah membentuk dasar dan strategi yang memerlukan kefahaman dan kerjasama semua rakyat. Rakyat Malaysia tidak boleh berlagak sebagai orang yang sudah kaya sedangkan kita masih negara membangun.

106. Di tahap kemajuan kita sekarang, kita hanya mampu mengadakan kemudahan tertentu sahaja. Apabila pendapatan kita meningkat kita harus sanggup membayar lebih sedikit apabila kemudahan yang kita gunakan lebih baik dan menelan belanja yang bertambah. Ada sesetengah daripada kita yang tuntut untuk mendapat kemudahan kelas pertama tetapi sanggup bayar hanya untuk kelas ketiga. Jika kita mahu kelas pertama maka hendaklah kita sanggup bayar bayaran untuk kelas pertama.

107. Sekarang kita sudah jadi bangsa yang lebih ramai tinggal di bandar daripada di desa. Lebih satu juta penduduk Kuala Lumpur membuat sampah yang boleh menenggelamkan bandaraya ini dalam timbunan sampah dalam dua tahun. Kita perlu lupuskan sampah ini. Melonggoknya di tanah lapang akan mencemar iklim, menyebabkan bau busuk, membawa penyakit dan membiakkan kuman seperti SARS, membiak tikus dan serangga lain, meracun air bawah tanah yang akan mengalir ke dalam saluran air dan sungai dan bermacam-macam masalah lain. Membakar dalam keadaan terbuka akan mencemar udara dengan asap dan gas-gas toksik yang lain.

108. Untuk menyelamatkan penduduk daripada semua ini, Kerajaan sanggup belanja lebih daripada satu setengah bilion ringgit untuk mendirikan loji bakar sampah yang termoden dan terselamat. Ia lebih moden daripada kebanyakan loji bakar sampah di negara-negara maju, seperti Jepun.

109. Di Jepun loji bakar sampah berteknologi biasa begitu bersih sehingga dapat didirikan di tengah-tengah kawasan perumahan. Penduduk mengguna loji sampah sebagai tempat rekreasi, kelab renang dan aktiviti- aktiviti sosial. Tidak ada sesiapa yang membuat protes. Penduduk membayar bayaran yang tinggi untuk loji bakar sampah mereka.

110. Kita bercadang untuk mendirikan loji bakar sampah yang termoden, jauh dari kawasan perumahan. Keselamatan penduduk terjamin kerana tidak akan ada fly- ash atau dioxin yang akan mencemar udara.

111. Tetapi rakyat negara ini, yang sepuluh kali ganda lebih miskin daripada rakyat negara maju, memprotes pembinaan loji bakar sampah yang dicadangkan ini kerana kononnya akan mengeluarkan racun. Kita sudah menjadi begitu sombong sehingga tahap keselamatan yang diterima oleh orang yang sepuluh kali ganda lebih kaya daripada kita, belum cukup sesuai bagi kita.

KITA BELUM KAYA

112. Kita belum kaya. Kita belum pun dapat mengamal standard yang sama tinggi dengan negara yang sudah maju. Kini kita menuntut standard yang lebih tinggi daripada negara yang sudah maju. Percayalah jika kita mengada-ngada sangat, kita bukan akan lebih selamat dan sihat; sebaliknya kita akan terima padahnya.

113. Dalam bidang ekonomi strategi kita ialah untuk hidup mengikut kemampuan kita, tidak hutang terlalu banyak, dan mengurus pembangunan negara mengikut kewangan dan keperluan kita.

114. Kita ingin tentukan sementara kos kita berdaya saing, tetapi taraf hidup kita tidak terlalu rendah. Hari ini pendapatan per kapita kita ialah lebih kurang 4,000 Dolar Amerika tetapi dengan 4,000 Dolar Amerika ini kita boleh beli barangan dan khidmat sebanyak hampir 9,000 Dolar Amerika di Amerika. Sebaliknya pendapatan per kapita Luxembourg umpamanya ialah 44,000 Dolar Amerika iaitu 11 kali ganda lebih daripada kita tetapi daya beli hanyalah 27,000 Dolar Amerika atau hanya tiga kali ganda sahaja lebih daripada daya beli kita. Ini adalah kerana kos sara hidup di Luxembourg lebih tinggi daripada di Amerika Syarikat.

115. Dalam 46 tahun kemerdekaan pendapatan per kapita kita meningkat dari 300 Dolar Amerika kepada 4,000 Dolar. Jelas sekali rakyat Malaysia sekarang lebih kaya dari masa belum merdeka dahulu, lebih mampu bayar lebih untuk barangan dan khidmat yang lebih baik.

116. Kita ingin lihat purata upah di Malaysia dinaikkan lagi. Tetapi jika upah naik dan kos sara hidup naik bersama, kenaikan upah tidak memberi apa-apa kelebihan kepada kita. Terdapat banyak negara yang upahnya amat tinggi tetapi harga barangan dan khidmat jauh lebih tinggi dan dengan itu "standard of living" atau taraf hidup sebenarnya merosot. Semua rakyat mereka adalah jutawan tetapi mereka semua papa kedana. Di Malaysia pendapatan meningkat lebih daripada kos. Ini bermakna kita boleh beli lebih walau pun kos meningkat.

117. Upah di negara kita mungkin rendah berbanding dengan negara maju tetapi ia tidak menyebabkan taraf hidup kita menjadi terlalu rendah. Di tempat-tempat tertentu kemudahan awam adalah sama dengan yang terdapat di negara maju, tetapi belanja yang dipikul oleh rakyat untuk kemudahan ini tidak sampai separuh daripada di negara maju. Kita bayar tol RM7 untuk melalui Jambatan Pulau Pinang. Orang Jepun bayar RM500 untuk menggunakan jambatan yang lebih pendek.

118. Kita boleh menaikkan lagi upah tetapi jika kenaikan tidak diimbang dengan kenaikan daya pengeluaran kita, kita akan menjadi tidak kompetitif lagi. Dengan itu tidak akan ada pelaburan baru dan pelaburan yang sedia ada mungkin berpindah ke negara lain. Peluang kerja akan berkurangan dan ramai yang akan menganggur. Dalam keadaan ini kenaikan upah tidak mungkin diadakan lagi kerana jumlah pekerja melebihi jumlah peluang kerja.

119. Ada pihak yang percaya kenaikan upah boleh didapati melalui tindakan perusahaan. Inilah yang dibuat di Eropah. Tetapi jika kita teliti kita akan dapati ekonomi semua negara Eropah tidak tumbuh seperti kita dan pengangguran jauh lebih tinggi daripada kita.

120. Mereka membayar elaun kepada yang menganggur. Elaun ini hanya boleh dibayar jika jumlah yang menganggur sedikit dan ekonomi tumbuh dengan pesat. Apabila ekonomi merosot dan cukai Kerajaan berkurangan, itulah masanya yang jumlah penganggur bertambah dan lebih banyak wang diperlukan untuk bayar `dole`. Dan ini menjadikan kewangan Kerajaan semakin teruk.

121. Lagi pun kerana adanya elaun pengangguran ramai pekerja Eropah yang memilih untuk tidak bekerja atau menyembunyi kerja mereka. Ini menambah beban Kerajaan sehingga Kerajaan terpaksa mensyaratkan elaun hanya akan diberi kepada mereka yang membuat kerja-kerja tertentu sahaja. Dengan perkataan lain "unemployment allowance" tidak "sustainable".

122. Di Malaysia tidak ada elaun pengangguran. Jika pekerja tidak bekerja, keluarga mereka hendaklah membiayai sara hidup mereka. Kerana malu dan tidak sanggup bergantung kepada keluarga, penganggur berusaha mencari kerja. Walaupun demikian, apabila ramai lulusan universiti tidak mendapat kerja Kerajaan telah memberi pengalaman bekerja dan membayar elaun sementara.

123. Kita perlu pendekatan dan strategi kita sendiri. Kita tidak perlu ikut cara-cara orang Eropah secara buta tuli. Tetapi ada rakyat Malaysia yang berminat untuk mengikuti cara-cara orang Eropah dan orang yang sudah kaya. Mereka tidak mengambilkira tahap pembangunan negara dan kewangan kita. Mereka ingin kita boros belanja dan berhutang.

124. Jika Kerajaan kerana ingin popular melayan segala tuntutan besar kemungkinan kita akan jadi seperti beberapa negara membangun yang tidak dapat bayar hutang luar, menjadi bankrap dan dikuasai oleh agensi antarabangsa.

125. Terdapat banyak lagi masalah dalaman yang perlu kita tangani. Saya tidak akan ulas semua daripada masalah ini. Walaupun kita berjaya untuk mengimbangkan sedikit penguasaan kekayaan ekonomi di antara kaum-kaum tetapi dalam proses ini orang Melayu dan Bumiputera lain sudah menjadi terlalu "dependent" dan hanya boleh berniaga dengan Kerajaan sahaja. Tanpa Kerajaan, tanpa DEB mereka akan lumpuh. Keadaan ini mengancam masa depan bangsa Melayu dan Bumiputera, bangsa Malaysia dan negara yang tercinta ini.

KEADAAN UMNO DITENTU OLEH AHLI

126. Kita boleh tangani masalah persekitaran luar dan persekitaran dalam dengan mengadakan Kerajaan yang berwibawa, Tetapi keadaan dalam parti, dalam UMNO tidak boleh ditentukan oleh Kerajaan. Hanya yang boleh ialah Parti sendiri dan ahli-ahlinya.

127. Setelah begitu lama kita berjaya, ramai daripada pemimpin dan ahli parti yang tidak bersemangat lagi, tetapi sebaliknya mengutamakan kepentingan diri. Rebutan tempat dalam parti sudah menjadi begitu sengit sehingga kepentingan parti, kepentingan bangsa dan negara di ketepikan.

128. UMNO dan orang Melayu telah dilemahkan kerana sikap ini. Sejak pemisahan ulama UMNO untuk menubuh PAS, kita telah lihat tiga kali lagi parti serpihan ditubuh oleh orang UMNO yang tidak dapat kehendak hati mereka. Banyaklah usaha dan masa yang perlu dihabiskan untuk memulih parti.

129. Alhamdulillah kesan daripada serpihan terakhir ini sudah tidak lagi mengancam parti seperti dalam pilihanraya 1999. Tetapi ancaman yang masih ada ialah kesanggupan sesetengah pemimpin dan ahli parti mensabotaj parti kerana kecewa.

130. Pertandingan dalam parti bertujuan mendapat calon dan pemimpin yang terbaik, bukan untuk berkelahi dan merajuk sehingga sanggup membalas dendam dan merugikan perjuangan parti dan bangsa. Mereka yang faham demokrasi akan rapatkan balik barisan dalam parti, di belakang pihak yang berjaya selepas pertandingan selesai dan bersama menjayakan perjuangan.

131. Oleh kerana pertandingan dalam parti tidak sihat dan sering membawa perpecahan kita tidak dapat mengadakan pemilihan di peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi terutama semasa berdekatan dengan pilihanraya.

132. Tetapi untuk pilihanraya hendak tidak hendak calon terpaksa juga ditentukan. Apabila calon dipilih maka ada yang tidak dipilih yang cuba menentukan calon itu kalah. Mereka lupa bahawa kalahnya calon, kalahlah parti. Tetapi demikianlah sikap mereka sehingga mereka rela parti sendiri kalah dan parti lawan menang daripada rakan mereka dalam parti menang. Ingatlah bila mereka dicalonkan mereka juga akan jadi mangsa sikap ini.

133. Di waktu ini sikap yang seperti ini belum menyeluruh. Tetapi ia menunjuk aliran yang merbahaya. Jika lebih ramai yang bersikap demikian, parti akan kalah bukan kerana lawan kita lebih kuat tetapi kerana secara tidak langsung orang UMNO bersubahat dengan parti lawan. Sebenarnya ini adalah satu pengkhianatan kepada perjuangan parti, kepada agama, bangsa dan negara.

134. Kita perlu terima masa tetap akan tiba untuk kita undur diri dan serahkan tugas kepada golongan pelapis. Parti tidak akan dapat meneruskan perjuangannya jika tidak ada pembaruan, keahlian dan kepimpinan, jika ahli dan pemimpin baru tidak diterima.

135. Saya bersyukur kerana hari ini penubuhan Puteri diterima dan kerjasama yang erat diadakan di antara Puteri dan Wanita. Tetapi ada juga di peringkat Cawangan dan Bahagian keengganan menerima ahli baru terutama yang berkebolehan kerana takut hilang tempat. Sikap ini mesti dikikis. Jika tidak parti akan mati bersama dengan ahli dan pemimpin yang tua yang ada sekarang ini.

136. Cabaran yang UMNO hadapi sebagai teras kepada pemerintahan negara datang dari luar negara, dalam negara dan dalam parti sendiri. Jika kita tidak tahu menangani cabaran-cabaran ini, jika tidak ada semangat dan "political will", sejarah cemerlang UMNO akan pudar dan UMNO akan mengikuti parti-parti nasionalis di negara lain yang hari ini sudah tidak ada atau tidak berkuasa.

PEGANG KEPADA AJARAN ISLAM

137. Berhadapan dengan cabaran-cabaran ini, apakah yang perlu kita buat sebagai persediaan? Saya telah sebut berkenaan dengan peranan agama Islam dalam kehidupan orang Melayu. Tidak ada pengaruh yang lebih kuat daripada agama Islam untuk membina kekuatan dan ketahanan orang Melayu.

138. Tetapi yang penting ialah kita pegang kepada ajaran Islam yang sebenar, ajaran yang semuanya positif dan membina, ajaran yang memberi kejayaan kepada Nabi besar kita, Muhammad s.a.w., ajaran yang memberi kejayaan yang besar kepada umat Islam yang terdahulu sehingga dapat memperluaskan wilayah Islam meliputi hampir seluruh dunia dan mengekalkannya selama 1,300 tahun.

139. Jika diteliti ajaran Islam menekankan nilai-nilai yang mulia dan baik. Kita disuruh "Baca", "Iqra" iaitu mengejar ilmu. Kita disuruh bersaudara sesama Islam, termasuk dalam parti, di luar parti, di luar negara. Kita disuruh berpegang kepada ikrar dan amanah. Kita disuruh rajin bekerja, menguasai aneka jenis kecekapan yang boleh meningkatkan ketahanan kita dan banyak lagi nilai-nilai yang positif dan membina. Kita juga disuruh menolak yang buruk dan negatif, "amal ma`aruf nahi mungkar".

140. Jika kita betul-betul pegang kepada nilai-nilai ini, kita amalkannya dan kita rujuk kepadanya apabila sahaja kita bertemu apa juga cabaran, Insya Allah, kita akan berjaya.

141. Agama Islam tidak akan menghampakan kita. Allah tidak menentukan nasib yang buruk semata-mata bagi kita. Al-Quran menegaskan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri berusaha mengubah nasibnya. Allah juga telah berfirman bahawa segala yang baik datang daripadaNya, dan segala yang buruk datang daripada kita. Maka tidaklah mungkin nasib buruk orang Islam sekarang disebabkan oleh Allah s.w.t., ditakdirkanNya. Ia datang daripada orang Islam yang hanya berdoa dan bersembahyang hajat tetapi tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan dan memperbaiki nasib kita sendiri. Jika kita sengaja pilih untuk tinggal di tepi gunung berapi, janganlah salahkan Tuhan atau takdir apabila gunung meletup, rumah kita runtuh atas kita dan kita cedera atau mati.

UMNO BUKAN SEBARANG PARTI

142. UMNO bukan sebarang parti. UMNO adalah parti pemerintah. Di Malaysia, UMNO memainkan peranan yang amat penting. Jika tidak kerana UMNO dan falsafah perjuangannya, tidak mungkin negara kita merdeka pada tahun 1957, kita aman dan maju seperti sekarang. Hakikat ini diakui oleh semua pihak; orang Melayu, orang Cina, India dan suku-suku kaum yang lain di Malaysia dan juga orang asing.

143. Justeru itu, ahli-ahli UMNO dan pemimpin- pemimpinnya di semua peringkat mempunyai tanggungjawab yang amat berat. Tanggungjawab ini hanya dapat dipikul dan dijayakan jika kita semua melengkapkan diri kita dengan nilai-nilai, ilmu dan kecekapan yang diperlukan.

144. Tidak ada individu dan tidak ada kumpulan manusia yang tidak bermasalah. UMNO mempunyai banyak masalah. Alhamdulillah sehingga kini kita dapat menangani sebilangan besar daripada masalah ini dengan jayanya.

145. Masa depan akan membawa lebih banyak masalah dan cabaran kepada parti kita. Samada UMNO dapat menangani masalah dan cabaran ini dengan jayanya bergantung banyak kepada sifat-sifat yang ada pada kita sebagai ahli dan pemimpin parti.

146. Sesungguhnya kejayaan kumpulan akan membawa kejayaan dan nikmat kepada semua individu anggota kumpulan. Sebaliknya kejayaan individu tidak menjamin kejayaan kumpulan. Lebih buruk lagi kejayaan individu boleh membawa kerosakan kepada kumpulan. UMNO sebagai satu kumpulan yang penting, jika rosak, akan membawa padah kepada bangsa Melayu, bangsa Malaysia, kepada agama Islam dan kepada negara Malaysia. Justeru itu tiap individu dalam UMNO mestilah menentukan kejayaan kumpulan, iaitu UMNO dan tidak berhempas pulas untuk mendapat sesuatu bagi diri sendiri. Sebagai orang Islam kita harus tahu makna korban, harus sanggup korban kepentingan diri untuk kejayaan kumpulan kita.

147. Dalam perang, bagi yang terbunuh, hasil kemenangan tidak dapat dikecapi oleh mereka di dunia. Kita tidak suruh ahli UMNO berperang dan dibunuh dalam peperangan. Kita hanya meminta ahli UMNO utamakan kemenangan bagi parti. Hanya kemenangan parti sahaja yang boleh membawa manfaat kepada kita, bukan kemenangan kita sebagai individu.

148. Peluang dalam sistem demokrasi dan peluang yang terdapat dalam parti adalah terhad dan wujud secara kebetulan sahaja. Ia bukan sebab kita berjuang. Ingatlah perjuangan kita adalah untuk kemuliaan dan kemajuan bangsa, agama dan tanahair kita. Kedudukan yang tinggi hanyalah untuk menjayakan perjuangan dan bukanlah menjadi matlamat perjuangan kita. Jika kita sendiri tidak dapat kedudukan yang tinggi ini tetapi yang dapat berjaya memenuhi matlamat perjuangan kita, kita tidak harus kecewa. Kejayaan bangsa kita, agama kita, negara kita akan dikecapi oleh kita juga. Dan kita juga akan dimuliakan dan disanjung tinggi. Sebaliknya jika kerana berebut-rebut, parti jadi lemah, kita mungkin kalah semua dan hilang semua.

AHLI MESTI BERKORBAN

149. Justeru itu ahli UMNO mestilah bersedia untuk berkorban kepentingan diri sedikit supaya mendapat nikmat yang banyak. Tanyalah kepada diri sendiri apakah benar kita tidak mendapat apa-apa nikmat sama sekali kerana kita bukan Ketua Cawangan atau Ketua Bahagian, menjadi ahli MT, menjadi calon dan Wakil Rakyat, Menteri dan Perdana Menteri. Jawapannya ialah kita semua dapat. Oleh itu berhentilah daripada berebut-rebut dan jayakanlah parti. Jangan sekali-kali sabotaj calon kerana ia bermakna sabotaj parti. Orang yang sabotaj parti tidak harus ada dalam parti. Musuh dalam selimut lebih bahaya daripada yang bermusuh secara terbuka. Jangan mengkhianati parti dan bangsa sendiri.

150. Sesungguhnya musuh UMNO tidak kuat. Mereka tidak mungkin mengalahkan UMNO. Tetapi UMNO boleh mengalahkan UMNO. Saya tidak perlu hurai perkara ini. Kita semua tahu. Parti lawan tidak menang. Hanya UMNO yang kalah.

151. Sesungguhnya UMNO tidak mungkin kalah jika kesetiaan kita kepada parti, pada bangsa dan agama tidak dilunturkan kerana kepentingan diri. Tidak ada parti politik di mana-mana yang lebih berjaya memulihkan maruah sesuatu bangsa, seperti UMNO. Daripada bangsa yang dijajah dan dihina, bangsa Melayu sekarang dianggap sebagai bangsa yang begitu berjaya sehingga menjadi contoh kepada ramai bangsa-bangsa lain di dunia. Jasa UMNO kepada orang Melayu, Bumiputera lain, bangsa Malaysia dan negara Malaysia amatlah jelas dan besar. Janganlah kekecewaan kita menghancur semula maruah bangsa kita.

152. Jika boleh saya ulangi, perjuangan kita, UMNO dan orang Melayu dan Bumiputera lain belum selesai. Banyak lagi yang perlu dibuat oleh kita. Hanya untuk mengekalkan kemerdekaan kita, kebebasan kita, memerlukan usaha yang gigih dan berterusan. Apatah lagi jika kita ingin memulih maruah bangsa dengan sepenuhnya dengan menjadi bangsa yang maju dalam sebuah negara maju.

153. UMNO, saya ulangi bukan sebarang parti. UMNO adalah teras dan tunjang kepada parti yang memerintah negara tercinta ini. Kuat UMNO kuatlah Barisan Nasional, kuatlah Kerajaan Malaysia, kuatlah Malaysia. Lemah UMNO akan mengundang malapetaka kepada kita semua.

154. Ini adalah kali terakhir yang dapat saya sampaikan ucapan perasmian dalam Perhimpunan Agung UMNO. Saya pohon maaf jika saya mengambil masa yang panjang untuk menyampaikan ucapan ini. Saya hanya ingin menyumbang kepada parti yang telah memberi peluang yang banyak bagi saya merealisasikan segala idea yang ada pada saya bagi pemulihan maruah bangsa saya, memajukan sedikit bangsa saya dan negara saya. Sama ada saya berjaya atau tidak bukan untuk saya menilaikannya. Rakyat dan sejarah yang akan menghukum dan menilai baik atau buruk khidmat yang telah saya berikan.

155. Saya amat menghargai sokongan UMNO, orang Melayu dan Bumiputera dan rakyat Malaysia yang lain dan saya bersyukur dan berterima kasih kerananya. Saya juga pohon ampun dan maaf terhadap segala kesilapan dan kesalahan saya sepanjang saya berkhidmat dalam parti yang bertuah ini.

156. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, yang telah memberkati hamba-Nya yang kerdil ini. Saya berdoa kepada-Nya supaya memelihara bangsa hamba-Nya ini daripada sifat-sifat yang keji dan menjadikan mereka bangsa yang mulia dan berjaya, yang mematuhi segala ajaran agama suci Engkau, ajaran yang menyuruh berusaha bersungguh-sungguh memelihara dan memajukan bangsa ini untuk dijadikan contoh sebagai umat Islam yang tunduk kepada segala perintah Engkau Ya Allah. Amin

157. Dengan doa ini, saya dengan hati yang berat tetapi gembira, merasmikan Perhimpunan Agung UMNO yang ke 54 ini.

sumber- http://www.pmo.gov.my

BANTUAN ZAKAT AWAL PERSEKOLAHAN

BANTUAN ZAKAT AWAL PERSEKOLAHAN NEGERI KEDAH. (RM400)

Borang boleh didapati di cawangan zakat di daerah yang anda tinggal seperti tarikh di bawah.

Syarat Kelayakan :

1. Islam

2. Pemohonon ( SUAMI ISTERI ) mestilah mempunyai anak yang besekolah di sekolah rendah dan menengah sekurang2nya 3 ORANG.

3. Pemohonon ( IBU TUNGGAL ) mestilah mempunyai anak yang besekolah di sekolah rendah dan menengah sekurang2nya 2 ORANG.

4. Anak di Pra Sekolah, Tadika, dan yang sedang menunggu keputusan SPM serta yang brlajar di IPT tidak dikira.

5. Umur anak hendaklah diantara 7 tahun hingga 17 tahun, lahir pada 1999 - 2009

Dokumen yang perlu disediakan:-

1. Kad pengenalan suami dan isteri ( Asal )
2. Surat beranak anak yang bersekolah ( Asal )
3. Pengesahan anak angkat dari imam Qaryah atau penghulu mukim..

PZD KOTA SETAR
Tarikh : 3.1.2016
Masa : 9 pagi
Tempat - Pejabat Zakat Daerah Kota Setar

PZD KUBANG PASU
Tarikh : 3.1.2016
Masa : 9 pagi
Tempat - Pejabat Zakat Daerah Kubang Pasu

PZD SIK
Tarikh : 3.1.2016
Masa : 9 pagi
Tempat - Masjid An-Naim, Sik

PZD POKOK SENA
Tarikh : 3.1.2016
Masa : 9 pagi
Tempat : Pejabat Zakat Daerah Pokok Sena

PZD PADANG TERAP
Tarikh :  3.1.2016
Masa : 9 pagi
Tempat  : Pejabat Zakat Daerah Padang Terap

PZD KUALA MUDA
Tarikh : 3.1.2016
Masa : 8.30 pagi
Tempat : Masjid Sultan Abdul Halim, Taman Ria Jaya

PZD  YAN
Tarikh : 3.1.2016
Masa : 9 pagi
Tempat : Pejabat Zakat Daerah Yan

PZD  LANGKAWI
Tarikh : 4.1.2016
Masa : 9 pagi
Tempat : Masjid Al-Hidayah, Kelibang

PZD  PENDANG
Tarikh : 3.1.2016
Masa : 9 pagi
Tempat : Pejabat Zakat Daerah Pendang

PZD  BANDAR BAHARU
Tarikh : 3.1.2016
Masa : 8.30 pagi
Tempat : Masjid Al-Irsyad, Pekan Serdang

PZD  KULIM
Tarikh : 3.1.2016
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Masjid Bagan Sena

PZD  BALING
Tarikh : 3.1.2016
Masa : 8.30 pagi
Tempat : Masjid Kg Charok Nau

Top Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...