Waspada Malware Zeus
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihati
orang ramai terutama pengguna media sosial supaya tidak
sewenang-wenangnya memberikan maklumat peribadi menerusi talian Internet
kepada mana-mana pihak termasuk berkaitan institusi perbankan.
Ketua Komunikasi Strategiknya, Sheikh Raffie Abd. Rahman berkata,
suruhanjaya telah maklum mengenai virus atau Malware yang dikenali
sebagai Zues Trojan tersebut dan pihaknya dalam usaha memantau secara
lanjut berhubung Malware itu.
"Zeus itu sebenarnya adalah Malware dan penyebarannya lebih tertumpu
kepada matlamat. Kita nasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila
mencapai sesuatu dalam Internet kerana Malware bagi kes ini telah
dicipta untuk mencuri maklumat-maklumat peribadi mangsa.
"Modes operandi Zeus bukan sahaja dihantar menerusi emel kepada
mana-mana individu yang dibuat secara rawak tetapi turut dikesan
menerusi laman Facebook iaitu capaian daripada satu laman ke laman yang
lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai satu taktik baharu sindiket penipuan
Internet yang menghantar Malware sebagai Zeus Troja ke telefon pintar
dan akan mewujudkan satu program baru sekali gus berfungsi sebagai
'pencuri' maklumat bank ketika mangsa melakukan perbankan Internet.
Sepasang suami isteri Mohd, Umzarul Faiz Umar dan isteri,
Hamimah Hamid, 37, merupakan mangsa kepada Malware berkenaan apabila
kehilangan ribuan wang di dalam akaun bank baru-baru ini selepas
melakukan beberapa pengesahan kepada Malware menerusi emel yang kononnya
berkaitan perbankan.
sumber-utusan